Thursday, December 21, 2006

Risiko, Ganjaran dan Anda Sebagai Pelabur

Ada satu prinsip asas yang perlu anda ingat sebelum melaksanakan pelan kewangan. Prinsip itu ialah: lebih tinggi pulangan daripada sesuatu pelaburan, lebih tinggi risikonya.
Ini merupakan prinsip penting pelaburan, keseimbangan antara risiko dan ganjaran berkait langsung dengan setiap keputusan pelaburan yang dibuat. Apabila membeli atau menjual sesuatu produk pelaburan, anda sentiasa menghadapi risiko kerugian. Cuma, tahap risiko itu berbeza-beza antara satu produk dengan produk yang lain.
Amnya, produk yang menjanjikan pulangan paling banyak (seperti niaga hadapan, opsyen dan saham yang harga meningkat dengan cepat) merupakan pelaburan yang paling berisiko - jadi, makin banyak risiko yang anda ambil dengan pelaburan-pelaburan jenis ini, semakin besar kemungkinannya ganjaran yang bakal diterima juga besar. Tetapi, kemungkinan besar pula anda boleh hilang wang pelaburan anda. Begitulah sebaliknya dengan produk kewangan yang dianggap "selamat" seperti simpanan di bank dan bon yang memberi pulangan kecil dan mantap. Kemungkinan wang anda hangus kecil sekali kerana pelaburan seperti ini mempunyai risiko rendah. Tetapi pulangannya juga rendah. Inilah yang dimaksudkan dengan perseimbangan antara risiko dan ganjaran.
Sebenarnya risiko sesuatu pelaburan itu bergantung kepada diri kita sendiri. Dalam lain perkatan berapa banyak risiko yang anda sanggup terima. Risiko bermakna, mengambil sesuatu langkah yang tidak pasti iaitu tiada jaminan hasil langkah yang diambil itu akan memihak kepada anda. Ketahanan menghadapi risiko diukur melalui penerimaan anda terhadap hasil daripada sesuatu pelaburan. Sama ada anda boleh mengambil risiko dan sampai ke tahap mana ketahanan anda, bergantung kepada kedudukan kewangan anda (ini merangkumi nilai bersih, pendapatan dan jangkaan hasil pendapatan pada masa hadapan), personaliti dan matlamat kewangan anda.
Hampir semua buku yang mengajar kita mengenai pelaburan pasti memasukkan kuiz profil risiko pelabur untuk membantu kita memastikan daya ketahanan terhadap risiko. Jawab ujian ini dan ketahuilah profil pelaburan anda: sama ada konservatif, sederhana atau agresif. Pelabur yang agresif akan mengambil risiko besar untuk mendapat keuntungan besar. Pelabur konservatif akan mencari pelaburan selamat dan berpuas hati dengan pelaburan yang membawa pendapatan mantap. Pelabur sederhana pula berada di tengah-tengah: dia mengambil sikap berhati-hati tetapi bersedia mengambil sedikit risiko untuk mendapat pulangan lebih baik.
Nak tahu ketahanan anda menghadapi risiko, tanya diri sendiri fasal tidur. Bolehkah anda melaburkan semua wang dalam sesuatu aset dan tetap dapat tidur nyenyak? Jika tak boleh, bermakna pelaburan bukan untuk anda.
Memahami Risiko Pelaburan
Apakah risiko yang dihadapi oleh pelabur seperti anda?
Salah satu bentuk risiko dinamakan 'risiko asas' yang meliputi semua jenis pelaburan. Risiko jenis ini wujud dalam mana-mana perniagaan dan dipengaruhi oleh tahap kecekapan pengurusan syarikat dan kedudukan syarikat dalam arus persaingan pasaran.
Cara terbaik untuk meminimumkan kesan risiko ini ke atas portfolio anda ialah dengan mempelbagaikan pelaburan; iaitu melabur dalam lain-lain syarikat, dalam industri yang berbeza-beza, dan dalam lingkungan kelas aset yang sama.
Yang kedua ialah risiko pasaran, juga dikenali sebagai risiko teknikal. Risiko ini pula berkaitan dengan bagaimana keadaan pasaran di mana anda mempunyai pelaburan. Ini membabitkan faktor-faktor ekonomi seperti kitaran perniagaan, inflasi dan pengangguran. Umpamanya, dalam sesuatu tempoh tertentu ekonomi, pasaran hartanah mungkin mempunyai prestasi lebih baik berbanding pasaran saham. Untuk menguruskan risiko pasaran, bijak jika mempunyai portfolio yang seimbang - iaitu mempelbagaikan pelaburan di kalangan sesuatu kumpulan aset dan mengawasi keadaan ekonomi negara untuk mengenal pasti syarikat mana yang berpotensi untuk berjaya dan yang mana pula yang mungkin merudum.
Risiko kadar faedah juga risiko yang perlu dihadapi. Biasanya ramai mengandaikan bahawa risiko kadar faedah hanya mempengaruhi pasaran bon. Ini tidak benar kerana kadar faedah juga turut memberi kesan kepada pasaran saham. Memang benar nilai saham dipengaruhi oleh lain-lainfaktor langsung. Yang perlu diingatkesan gerakankadar faedah mempunyai kesan terbalik bukan macam bon.
Risiko inflasi pula ialah risiko pelaburan anda dilangkau oleh inflasi yang bergerak pantas dan menghakis nilai pelaburan tersebut. Ini ialah risiko kuasa belian. Jadi, anda harus mencari saham, hartanah dan pelaburan yang akan mengatasi kadar inflasi dalam jangka masa tertentu. Jangan lupa juga untuk memasukkan faktor inflasi ketika mengira andaian pulangan daripada pelaburan anda. Ini cara yang betul untuk mendapatkan gambaran sebenar keuntungan yang diperoleh.
Akhirnya, risiko kecairan. Ini merupakan jawapan kepada soalan, berapa cepat saya boleh menukar aset pelaburan kepada nilai penuh wang tunai? Simpanan di bank adalah antara risiko kecairan paling rendah manakala pelaburan hartanah pula mempunyai risiko kecairan paling tinggi. Saham dan unit amanah juga mempunyai kecairan yang baik kerana, selepas menjualnya, anda hanya perlu menunggu beberapa hari (bekerja) sahaja untuk mendapat wang anda.
Anda Jenis Pelabur Yang Mana?
Di sini ada beberapa contoh profil risiko pelabur dan pelaburan tipikal yang dipadankan dengan personaliti dan objektif mereka.
Profil PelaburPelaburan Tipikal
Terlalu konservatifSekuriti kerajaan, sekuriti yang disokong oleh bankSekuriti pemegang amanah
KonservatifJulat lebih luas bagi pelaburan yang memberi pulangan sahaja, debentur, bon korporat, produk insurans tertentu
Julat pertengahanHarta (umpamanya rumah) yang belum siap, pertumbuhan saham, unit amanah yang berkaitan dengan pelaburan (dengan penekanan kepada pertumbuhan), pelaburan antarabangsa
UsahawanHarta yang sudah siap, pertumbuhan saham, unit amanah yang berkaitan dengan pelaburan (Dengan penekanan kepada pertumbuhan), pelaburan antarabangsa
SpekulasiDagangan opsyen, niaga hadapan, barangan eksotik dan himpunan barang-barang berharga
Nota: Jadual di atas hanya sebagai petunjuk. Untuk lebih tepat, ciri-ciri dan faktor-faktor lain perlu diambil kira. Juga, ada pertindihan dalam pengkelasan jenis pelabur. Justeru, ada pelabur mungkin tidak bersetuju dengan ciri-ciri pelaburan yang dipadankan dengan profil risiko.