Thursday, January 04, 2007

SCAM Bukan Sahaja Di Internet

SEREMBAN: Satu sindiket dikesan mengaut keuntungan hampir RM1.2 juta hasil penipuan dengan berselindung di sebalik perkhidmatan membantu usahawan baru yang berminat memulakan perniagaan.

Sindiket itu menggunakan nama Komuniti Bistari dan logo Urusetia Bistari Malaysia tanpa kebenaran dikesan bergiat aktif di Kelantan dan Terengganu.

Mereka akan memungut RM399 kepada peserta yang berminat dan menabur janji mendapatkan dana usahawan kerajaan bernilai RM30,000 hingga RM50,000 modal memulakan perniagaan.

Sehingga kini, mereka memungut wang daripada 3,000 mangsa selain mengiklankan perkhidmatan di akhbar berbahasa Cina dan sebuah akhbar tabloid mingguan berbahasa Melayu.

Pengarah Sekretariat Komuniti Bistari, Urusetia Bistari Malaysia (Bistari), Shaikh Hussin Shaik Mahamud, berkata pihaknya bersama Agenda Nasional Gerak Usahawan Negara (Anggun) mengambil inisiatif menghimpunkan orang ramai yang berminat menjalankan perniagaan memohon dana usahawan baru 2 secara berkelompok.

“Dalam tempoh Julai hingga November lalu kami menghimpunkan 25,000 usahawan kecil dan kini menunggu tarikh daripada kerajaan untuk mempertimbangkan permohonan mendapatkan pinjaman kecil antara RM1,000 hingga RM50,000.

“Anggun-Bistari satu-satunya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengambil inisiatif ini, malangnya ada pihak yang menggunakan nama serta logo kami untuk mengumpulkan wang dengan menaburkan janji pemohon dijamin mendapat pinjaman,” katanya yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Seremban di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah Anggun, Mohd Ridzuan Abdullah dan peguam mereka, T Paramasivam.

Shaikh Hussin berkata, kegiatan sindiket itu dikesan sejak sebulan lalu selepas pihaknya menerima maklumat daripada mangsa.

“Semua wang dipungut dibayar menggunakan draf bank atas nama sebuah syarikat di Johor. Mereka juga menipu orang ramai menawarkan Dana Usahawan Baru 3 yang tidak wujud.

“Saya ingin menegaskan kami tidak pernah melantik mana-mana pihak menjalankan sebarang urusan atau menyelaras sebarang program komuniti usahawan baru 2 Anggun-Bistari dengan caj RM399 yang didakwa bagi urusan pembayaran perkhidmatan,” katanya.